Monday, August 17, 2009

Pelajar cemerlang dapat banglow RM130,000

PENGKALAN CHEPA, 17 Ogos: Mungkin Kelantan menjadi negeri pertama di negara ini yang menghadiahkan seorang pelajar cemerlang SPM sebuah banglow berharga RM130,000.

Sebelum ini hadiah lumayan itu disebut kerajaan negeri memandangkan Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, 18 merupakan pelajar cemerlang SPM peringkat negara.

Pencapaian pelajar terbabit iaitu 20A (19A1 dan 1A2) telah melonjatkan nama Kelantan dan Maahad Muhammadi Perempuan.

Dan hari ini replika kunci rumah banglow itu diserahkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Abdullah kepada Nik Nur Madihah.

Hadiah berkenaan merupakan projek sosial Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui anak syarikatnya Binaraya dan Profil Impian yang berganding bahu membiayai rumah berkenaan dalam tempoh hanya dua bulan.

Rumah berkenaan dibina melalui Syarikat Mekar Mewah Sdn Bhd. Turut hadir pada majlis bersejarah itu Ketua Eksekutif PKINK, Haji Sabri Abdullah, Pengurus Besar Binaraya PKINK, Nik Kamil Amirah Nik Abdul Rahman, serta beberapa pegawai kanan PKINK.

Nik Nur Madihah ditemani kedua ibu bapanya, Nik Mohd Kamil Husin dan Mariani Omar serta adiknya.

Rumah banglo setingkat itu terletak di PT 1352, Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa.

Selain itu, Afza Carpet dan Handycraft Sdn Bhd turut menghadiahkan beberapa kelengkapan termasuk karpet.

Mohd Amar berkata, rumah berkenaan diberikan sebagai melunaskan janji kerajaan negeri yang diumumkan Menteri Besar sebelum ini. - Harakahdaily

Thursday, April 16, 2009

Nik Nur Madihah pilih Jordan lanjutkan pelajaran


KUALA LUMPUR – Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Muhd. Kamal, 18, memilih Jordan untuk melanjutkan pelajaran di bawah biasiswa Bank Negara Malaysia.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah melakukan solat Istikharah dengan memilih bidang Fizik Islam.

“Saya akan berlepas ke sana pada bulan Ogos atau September ini.

“Buat masa ini saya sedang membuat penyelidikan bersama pihak Bank Negara untuk memilih universiti terbaik dalam bidang Fizik Islam,” katanya.

Nik Nur Madihah berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan buku kisah hidupnya bertajuk Catatan Hati Nik Nur Madihah terbitan Hijjaz Records Publishing (HRP) di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah ibu dan bapanya, Mariyani Omar dan Nik Muhd. Kamal Husin.

Nik Nur Madihah yang fasih berbahasa Arab memberitahu, dia masih tidak percaya kisah hidupnya dibukukan dan berharap pembaca akan mengambil ilmu dalam buku itu sebagai pengajaran dalam hidup.

Buku berharga RM25.90 itu akan mula dijual hari ini dan ia diterbitkan oleh Pengurus HRP, Faizal Osman dengan dibantu oleh Ummu Hani Abu Hassan. _ Kosmo

Tuesday, April 7, 2009

Buku kisah Nur Madihah


KOTA BHARU - Kisah kejayaan dan pahit manis yang dilalui Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, sehingga menjadi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 akan dibukukan.

Buku berbentuk dokumentari bertajuk Permata Parang Puting tulisan Ummu Sakinah Muhammad itu menceritakan kisah di sebalik kejayaannya.

Ia diterbitkan oleh Yamani Angle Sdn. Bhd. (Yamanie) dan dijangka berada di pasaran tidak lama lagi.

Ummu Sakinah, 21, berkata, keserasian antara dirinya dan Nik Nur Madihah yang berlatarbelakangkan pendidikan sekolah agama selain mendapat 20A dalam SPM 2008 menjadi tarikan kepadanya untuk menulis mengenai pelajar cemerlang itu.

Menurutnya, buku setebal 200 muka itu dijangka dapat disiapkan menjelang Pesta Buku Antarabangsa 17 April ini. Ia akan menceritakan sesuatu yang tidak pernah disiarkan melalui media sebelum ini.

"Kini 70 peratus kandungan buku ini sudah disiapkan. Saya harap ia dapat sedarkan masyarakat mengenai sesuatu yang menarik mengenai pelajar dari aliran sekolah agama ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman bersama Yamanie dan Nik Nur Madihah di sini semalam.

Sementara itu, Nik Nur Madihah ketika ditemui mengakui sudah memilih universiti pilihannya untuk melanjutkan pelajaran tetapi masih berahsia mengenainya. _ kosmo

Tuesday, March 24, 2009

Madihah putuskan lepas umrah


KOTA BHARU 24 Mac - Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, akan mengambil kesempatan menunaikan umrah pada 7 Mei ini untuk memohon petunjuk Allah dalam membuat keputusan berhubung biasiswa dan tawaran melanjutkan pelajaran yang datang mencurah-curah.

Anak nelayan yang memperoleh 20 A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 itu akan menunaikan umrah bersama bapanya, Nik Mohd. Kamal Hussin, 41, dan ibunya, Mariani Omar, 42, dengan pembiayaan Hijaz Trade Corporation.

Nik Nur Madihah berkata, dia masih belum membuat sebarang keputusan beberapa tawaran yang diterimanya.

"Saya akan membuat solat istikharah, memohon petunjuk untuk mencapai keputusan yang terbaik. Saya cuma mahu capai cita-cita menjadi ahli fizik, itu saja dalam kepala sekarang, jadi, harap di sana (Mekah), saya dapat ilham," katanya selepas menerima pasport antarabangsa di Jabatan Imigresen di sini hari ini. - Utusan

Sunday, March 15, 2009

Madihah dapat rumah baru

KOTA BHARU 15 Mac – Pencapaian cemerlang pelajar miskin, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 ternyata cukup manis untuk dikecapi bersama keluarga apabila hadiah dan bantuan juga mula datang mencurah.

Selepas menerima lebih RM4,000 daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Yayasan Nelayan Malaysia (Yanim) semalam, hari ini Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengunjungi keluarganya memberi penghargaan sebanyak RM5,000.

Selain itu, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyerahkan seunit komputer riba dianggarkan bernilai lebih RM2,000.

Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Hussin turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 manakala Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Datuk Husam Musa sebanyak RM500.

Tanpa diduga hari ini, kerajaan negeri membayangkan akan menyediakan rumah baru dianggarkan bernilai lebih RM100,000 yang akan dibangunkan oleh PKINK.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Anual Bakhri Haron memberitahu, ia dijangka dibangunkan di atas tapak di Taman Perumahan Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa yang akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

‘‘Pemberian itu adalah untuk membantu meringankan beban keluarga mereka di samping sebagai penghargaan kepada kejayaannya yang turut mengharumkan negeri,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Nik Abdul Aziz yang memberi sumbangan peribadi kepada keluarga terbabit.

Nik Nur Madihah, 18, anak seorang nelayan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah negeri ini apabila memperoleh 20A dalam peperiksaan SPM 2008.

Kejayaan itu menjadikan pelajar tersebut antara pelajar cemerlang dengan mendapat 19 1A dan satu 2A.

Dia dan keluarga tinggal di sebuah rumah sewa dua bilik yang agak daif dengan bayaran RM90 sebulan di Kampung Parang Puting dekat sini.

Ketika bercakap kepada pemberita, Nik Abdul Aziz berkata, kejayaan pelajar sekolah di bawah pentadbiran Yayasan Islam Kelantan itu memperlihatkan bahawa pelajar sekolah agama tidak terkebelakang.

Katanya, ia telah dibuktikan berulang kali di mana mereka tidak terkebelakang dalam aspek pengajian moden yang diimbangi dengan agama.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Othman Che Mat berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan untuk membiayai bayaran sewa rumah keluarga tersebut yang telah tertunggak selama setahun.

‘‘Kami difahamkan keluarga ini gagal membayar sewa rumah selama setahun. Oleh itu melalui Skim Sewaan Kemiskinan Bandar, tunggakan itu tidak perlu lagi dibayar kerana akan ditanggung sepenuhnya oleh jabatan.

‘‘Bagaimanapun kami perlu berbincang dengan pihak kementerian terlebih dahulu kerana selain skim tersebut banyak lagi bantuan boleh diberikan termasuk insentif kewangan lain,’’ katanya ketika ditemui. - Utusan

Mara tawar Madihah belajar di UK

KUALA LUMPUR 15 Mac – Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal ditawarkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK).

Buat permulaan, pelajar cemerlang itu diberi peluang menyambung pelajaran di peringkat A Level di negara itu sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang yang diminati iaitu fizik.

Tawaran tersebut telah dibincangkan antara Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar dan bapa pelajar itu, Nik Mohd. Kamal Hussein, 41, menerusi telefon.

‘‘Pegawai Mara akan menghantar surat tawaran Nik Nur Madihah esok,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Satu Keluarga Satu Perniagaan anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini hari ini.

Nik Nur Madihah, 18, anak nelayan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah negeri ini apabila memperoleh 20 A dalam peperiksaan SPM 2008.

Kejayaan itu menjadikan pelajar tersebut antara pelajar cemerlang dengan mendapat 19 1A dan satu 2A, kurang satu mata pelajaran berbanding pencapaian pelajar terbaik SPM 2007, Azali Azlan yang memperoleh 21 A.

Dia juga membuktikan kesusahan keluarga bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan. Nik Nur Madihah mengambil sebanyak mungkin mata pelajaran bagi menguji keupayaan dirinya dalam menghadapi cabaran hidup sebagai pelajar.

Kesusahan hidup pelajar yang tinggal di rumah sewa kecil di Pengkalan Chepa dipaparkan di muka depan Utusan Malaysia semalam .

Noh memberitahu, tawaran kepada pelajar itu dibuat tanpa perlu mengisi borang dan tanpa temuduga kerana Nik Nur Madihah merupakan pelajar cemerlang daripada keluarga miskin.

Pelajar itu juga, katanya, telah membuktikan kemampuannya untuk berjaya walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan serta cabaran. - Utusan

Saturday, March 14, 2009

Resipi kejayaan Madihah dapat 20A


KETIKA keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan semalam seorang pelajar, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, membuat kejutan apabila mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.

Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan yang hidup dalam keadaan serba kekurangan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Wartawan Utusan Malaysia, AZRAN FITRI RAHIM dan jurugambar, HAFIZ JOHARI menemui Nik Nur Madihah di rumah keluarganya di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kota Bharu untuk mengetahui rahsia kejayaannya.

Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006 itu bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu menjadi tempat dia berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.


UTUSAN MALAYSIA: Bagaimana timbulnya idea untuk mengambil 20 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM tahun lepas?

NIK NUR MADIHAH: Sebelum ini jika dilihat kebanyakan pelajar cemerlang datang dari keluarga yang senang seperti anak guru, pegawai bank, oleh itu, timbul idea saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa anak nelayan juga mampu mencatatkan kejayaan yang cemerlang seperti orang lain.

Jadi, saya mencabar diri sendiri supaya mencatat sejarah dengan 20A.

Apakah resipi kejayaan dan bagaimana saudari belajar sehingga mencatatkan keputusan cemerlang ini?

Keputusan ini adalah di luar jangkaan, saya sasarkan hanya 18A. Paling penting ialah banyak berusaha dan belajar secara strategik, sekiranya timbul masalah cepat bertanya kepada guru dan selebihnya bertawakal.

Strategi yang saya maksudkan ialah memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajar kerana saya tidak mempunyai jadual belajar yang khusus seperti orang lain. Saya belajar ketika terasa mahu belajar sahaja tetapi ia berterusan.

Siapakah di sebalik kejayaan ini dan bagaimana mereka membantu untuk kejayaan ini?

Ibu bapa dan guru-guru banyak memberi dorongan, tanpa mereka saya mungkin tidak mencapai kejayaan ini.

Saya sebenarnya merahsiakan kepada ibu bapa bahawa saya mengambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah keputusan peperiksaan percubaan keluar baru saya beritahu kedudukan sebenar dan mereka memberikan sokongan malah ayah memberi cabaran tambahan.

Saya rahsiakan sebab saya mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya.

Dorongan guru-guru di Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) bagaimana?

Amat baik, malah guru yang menyelia saya, Mohd. Razali Konok mencadangkan supaya saya berhubung dengan bekas pelajar terbaik SPM 2006, Siti Fatimah Mukhtar, selepas itu saya sentiasa berhubung dengannya untuk mendapatkan nasihat.

Sebagai anak nelayan, bagaimana kehidupan saudari?

Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik.

Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng. Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 - RM700 sebulan.

Bagaimana saudari belajar dengan keadaan rumah yang sempit dan kurang selesa ini?

Saya belajar di ruang tamu, Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama.

Adakah saudari merasa rendah diri berbanding rakan-rakan lain yang lebih selesa dan mewah di sekolah?

Tidak, malah saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami.

Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng.

Kenapa tidak tinggal di asrama dan adakah saudari mendapat kemudahan biasiswa?

Kalau tinggal di asrama kos lebih tinggi, lagi pun saya lebih selesa dan tenang belajar di rumah kerana tiada gangguan walaupun rumah tidak sebesar mana.

Saya tidak pernah mendapat biasiswa dari mana-mana agensi cuma sumbangan yang diberikan oleh guru-guru melalui Cikgu Razali sebanyak RM200 sebulan.

Adakah saudari mendapat tuisyen daripada pusat tuisyen di luar sekolah bagi mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah?

Tidak, ayah tidak mampu. Saya beruntung kerana sekolah menyediakan guru lain untuk lapan mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah, saya bersama rakan-rakan akan belajar subjek tersebut pada kelas tambahan ketika cuti hujung minggu tetapi bagi mata pelajaran sastera saya belajar sendiri dan tidak pernah mengikuti kelas secara formal.

Lapan subjek ini, Pendidikan Agama Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi, Tasawur Islam, Geografi, Sains dan Sastera saya belajar ketika tingkatan lima.

Bagaimana dalam tempoh setahun saudari mempelajari semua subjek-subjek ini?

Seperti saya jelaskan tadi, banyak berusaha dan bertanya. Idea untuk menambah lagi mata pelajaran hanya timbul ketika tingkatan lima kerana pada tingkatan empat saya terpaksa menumpukan pada 24 mata pelajaran termasuk 12 subjek agama untuk peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).

Adakah saudari menjawab semua soalan mata pelajaran Sains dan Matematik seperti Fizik dan Kimia dalam bahasa Inggeris?

Ya, sebab lagi mudah dan ditekan oleh guru sejak awal lagi.

Apakah hobi dan cita-cita saudari?

Hobi saya ialah membaca, kalau ada masa lapang saya akan membaca terutama novel tulisan Faisal Tehrani. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ahli fizik, disebabkan tidak ramai orang Melayu menjadi ahli fizik.

Di mana mahu melanjutkan pelajaran?

Di luar negara tetapi tempat khusus atau universiti mana saya tidak kisah. - Utusan

Utusan segan nak cerita kehebatan Adik Nik Nur Madihah dari Kelantan


NIK Nur Madihah yang memperoleh 19 1A dan 1 2A dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan bersama bapanya, Nik Mohd. Kamal Husin dan ibu, Mariani Omar.

Potensi pelajar cemerlang dikesan guru


KOTA BHARU 14 Mac – Di sebalik kejayaan cemerlang Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, yang mendapat keputusan 20A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terdapat seorang guru yang bertanggungjawab menyelia pelajar tersebut sepenuhnya.

Guru Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Mohd. Razali Konok, memang mempunyai kelebihan apabila beliau mampu menghidu potensi setiap pelajar cemerlang.

Selain melonjakkan pencapaian Nik Nur Madihah dalam SPM 2008, beliau juga bertanggungjawab mendidik sehingga berjaya dua pelajar cemerlang SPM peringkat kebangsaan sebelum ini, Nur Hafilah Musa dan Siti Fatimah Mukhtar dari sekolah sama.

Nur Hafilah mencatatkan keputusan 10 1A pada SPM 1996 manakala Siti Fatimah mencatatkan 18A pada 2006.

Menurut Mohd. Razali, setiap pelajar yang dikesan berpotensi untuk berjaya dengan cemerlang akan diberi tumpuan dan digilap sebaik mungkin bagi menempuh peperiksaan tersebut.

Beliau yang juga Setiausaha Kecemerlangan dan Kokurikulum sekolah tersebut mula mengesan kebolehan Nik Nur Madihah ketika di tingkatan empat dan sejak itu dia diberi sepenuh perhatian.

“Ketika zaman Siti Fatimah, saya beri tumpuan kepada lima pelajar dan Siti Fatimah berjaya mencatatkan rekod manakala dua orang memperoleh 17A, seorang 15 1A dan seorang lagi 15 2A. Setiap pelajar diberi bantuan RM60 sebulan.

“Tetapi ketika era Nik Nur Madihah, saya melihat hanya dia seorang yang benar-benar menonjol. Saya mencari dan kumpulkan sumbangan daripada rakan-rakan guru serta orang perseorangan untuk beri bantuan RM200 sebulan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Razali, dana tersebut dikumpulkan sendiri oleh beliau semata-mata untuk membantu serta memberi rangsangan supaya pelajar berkenaan lebih yakin kepada diri sendiri.

“Saya sudah biasa dengan pelajar-pelajar cemerlang, bermula dengan Nur Hafilah yang kini melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di Australia, jadi saya tahu mengenai murid yang berpotensi ini.

“Mereka mempunyai sifat hampir sama. Sebagai contoh, Siti Fatimah dan Nik Nur Madihah tiada jadual belajar tetap. Jadi saya perlu memberi sepenuh perhatian kepada pelajar terbabit,” jelasnya.

Mohd. Razali memberitahu, disebabkan sentiasa dikelilingi pelajar-pelajar pandai, beliau perlu bertindak lebih daripada seorang guru biasa yang mengajar di kelas.

“Saya selalu bertemu dan bertanyakan masalah yang dihadapi walaupun tidak mengajar mereka secara langsung,” katanya.

Beliau adalah guru yang dipinjamkan dari Kementerian Pelajaran ke sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) itu dan telah mengajar di sekolah tersebut sejak tahun 1996. - Utusan

Nur Madihah terima penghargaan


KEPALA BATAS 14 Mac – Anak nelayan, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal yang memperoleh keputusan 20A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hari ini menerima penghargaan khas daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan itu menerima penghargaan berkenaan sempena majlis pelancaran Hari Penternak, Petani dan Nelayan peringkat Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Penghargaan khas itu disampaikan sendiri oleh menteri berkenaan, Datuk Mustapa Mohamed pada majlis tersebut yang turut dihadiri ibu bapa pelajar itu, Mariani Omar, 42 dan Nik Mohd. Kamal Husin, 41.

Selain sijil penghargaan, Nik Nur Madihah, 18, turut mendapat sumbangan cek RM4,000 iaitu masing-masing RM2,000 daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Yayasan Nelayan Malaysia (Yanim).

Mustapa dalam ucapan perasmiannya pada majlis itu berkata, pihaknya berharap kejayaan Nik Nur Madihah memberi inspirasi kepada anak-anak nelayan lain supaya mencatatkan pencapaian cemerlang dalam akademik.

“Saya dan rakan-rakan dalam kementerian cukup berbangga dengan apa yang dicapai adik Nik Nur Madihah (dalam SPM) dan beliau membuktikan bahawa anak nelayan juga boleh berjaya.

“Kita harap kejayaannya memberi inspirasi untuk kita semua dan tidak sesekali menjadikan kesusahan hidup sebagai halangan untuk berjaya,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Law Choo Kiang, Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk Mokhtar Ismail dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin.

Nik Nur Madihah mencipta sejarah memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM yang diumumkan Jumaat lalu dengan mendapat 19 1A dan satu 2A.

Sementara itu, Mustapa berkata, golongan penternak, petani dan nelayan di negara ini sangat bertuah kerana mendapat pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan berbanding rakan-rakan mereka di negara lain.

“Saya sudah pergi banyak negara dan bertanya kepada petani, penternak atau nelayan. Kerajaan mereka tidak pernah memberi insentif yang begitu banyak kepada mereka.

“Tujuan kerajaan amat mudah. Dengan memberi bantuan, kita harap jumlah hasil dapat ditingkatkan untuk kegunaan rakyat dan pada masa sama memberi limpahan pendapatan kepada petani, penternak atau nelayan,” katanya. - utusan

Nur Madihah puasa sebab miskin


KOTA BHARU 14 Mac – “Kadang-kadang saya menitiskan air mata sebab kakak (panggilan keluarga kepada Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, gambar) terpaksa berpuasa sebab tidak ada wang untuk beli makanan.

“Tetapi alhamdulillah, kakak memahami keadaan keluarga. Malah kakak menjadikan ibadah itu sebagai rutin pada setiap hari Khamis dan Isnin sejak berumur 12 tahun.”

Demikian luahan ibu kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Mariani Omar, 42, ketika ditanya mengenai kesusahan dia dan suami, Nik Mohd. Kamal Hussein, 41, membentuk seorang insan contoh.

Katanya, biar susah bagaimana sekali pun, anak sulung daripada empat beradik itu tidak pernah merungut.

Malah Nik Nur Madihah, menurutnya, melalui semua kepayahan itu dengan tabah dan menerimanya sebagai cabaran untuk berusaha dengan lebih keras.

“Disebabkan tak ada wang poket, kakak akan makan roti di sekolah dan kerana terlalu banyak makan roti, ia jadi kegemarannya. Malah dia bercita-cita belajar cara buat roti. Kata kakak, dia hendak buat roti banyak-banyak.

“Ibu mana yang tidak tersentuh apabila melihat keadaan anak begitu. Tetapi saya bersyukur kerana dia menerima kekurangan ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Nik Nur Madihah, 18, anak seorang nelayan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah negeri ini apabila memperoleh 20 A dalam peperiksaan SPM 2008.

Kejayaan itu menjadikan pelajar tersebut antara pelajar cemerlang dengan mendapat 19 1A dan satu 2A, kurang satu mata pelajaran berbanding pencapaian pelajar terbaik SPM 2007, Azali Azlan yang memperoleh 21 A.

Dia juga membuktikan kesusahan keluarga bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan walaupun mengambil sebanyak mungkin mata pelajaran bagi menguji keupayaan dirinya dalam menghadapi cabaran hidup sebagai pelajar.

Kesusahan hidup Nik Nur Madihah yang tinggal di rumah sewa kecil di Pengkalan Chepa dipaparkan di muka depan Utusan Malaysia hari ini.

Mariani berkata, sejak kecil anaknya itu gemar membaca buku dan setiap masa terluang tidak pernah dibiarkan begitu saja.

“Memang dari kecil lagi dia minat benar dengan buku. Saya dan suami tidak pernah paksa kakak membaca buku, kadang-kadang paksa dia suruh berhenti sebab sudah masuk Maghrib.

“Sifat ulat buku ini turun kepada tiga adiknya,” tambahnya.

Menurut Mariani, seorang lagi anaknya kini menuntut dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Teknik Bachok, seorang dalam tingkatan tiga di bawah tajaan Permodalan Nasional Berhad di Bandar Salak Tinggi dan yang bongsu di tahun lima Sekolah Kebangsaan Parang Puting di sini.

Ujarnya, sekiranya Nik Nur Madihah meminta wang untuk membeli buku, dia dan suami akan berusaha mencari wang tersebut tetapi selalunya ia tidak diberi serta-merta kerana kesempitan hidup.

“Kakak tidak banyak kerenah dan agak pendiam. Dia pun tidak beritahu kami dia ambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah saat-saat akhir,” ujarnya. - Utusan